Saturday, February 14, 2009

LETAK CALON IKUT KEHENDAK PENGUNDI

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau jika meletakkan calon tempatan yang disukai ramai.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (gambar) berkata, selain calon yang berkaliber dan disukai ramai, BN dan UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan dan kelemahan jentera pilihan raya ketika di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dahulu.

"Saya rasa jika dua perkara ini diambil kira selain faktor lain, BN mampu untuk memenangi semula Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas persiapan jentera pilihan raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah pada 7 April depan.
Dalam pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini, proses penamaan calon akan diadakan serentak pada 29 Mac nanti.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom pada 9 Februari lalu, manakala kerusi DUN Bukit Selambau pula dikosongkan selepas wakil rakyatnya, V. Arumugam meletak jawatan berikutan masalah peribadi.

Menurut Muhammad, BN sudah boleh mengatur strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.

"Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi," katanya.

Tambahnya, jentera sayap parti telah dikerahkan untuk bersedia menangkis segala isu yang mungkin dibangkitkan nanti.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn ketika dihubungi berkata, parti itu tidak membuat sebarang permintaan untuk meletakkan calonnya bertanding di Parlimen Bukit Gantang walaupun kerusi itu pernah dimenangi oleh Ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe.

Ko Youn memberitahu, pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di Taiping semalam, parti itu bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa diketuai oleh Lian Hoe bagi menjelaskan isu yang berbangkit ketika ini.

Sebagai bekas penyandang kerusi itu, Gerakan yakin Timbalan Menteri Penerangan itu dapat menarik lebih ramai pengundi memilih calon BN.
Puteri KSU :-
Secara peribadi memang saya bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan calon mengikut kehendak pengundi. Anak tempatan lebih tahu 'selera' pengundi dan rasanya adalah lebih mudah untuk mereka memenangi hati pengundi. Rasanya sudah jelas 'signal' yang diberikan oleh pengundi dalam pilihanraya yang lepas bila 'orang luar' diletakkan sebagai calon.

No comments:

Post a Comment