Tuesday, February 17, 2009

Kekayaan jutawan kita susut RM76b

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Bursa saham tempatan yang tidak terlepas daripada kesan kejatuhan bursa saham dunia telah menyebabkan nilai kekayaan 40 rakyat Malaysia terkaya menyusut RM75.6 bilion pada tahun lalu, demikian menurut kaji selidik majalah, Malaysian Business.

Menurut majalah itu, kekayaan terkumpul kesemua 40 individu dalam senarai berkenaan telah jatuh kepada RM96.30 bilion pada 16 Januari ini berbanding RM171.9 bilion, tempoh sama tahun lalu.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) jatuh sebanyak 37 peratus sejak kaji selidik yang lalu ekoran krisis kewangan global yang turut menjejaskan harga saham dunia.

Menurut kaji selidik itu, jumlah kekayaan bagi hampir separuh 40 rakyat Malaysia terkaya jatuh sehingga 50 peratus atau lebih, menjadikan bilangan orang terkaya seramai 14 berbanding 19 orang tahun lalu.

Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok masih berjaya mengekalkan kedudukan dalam senarai itu dengan nilai kekayaan sebanyak RM26.6 bilion berbanding RM58.1 bilion, tahun lalu.

Majalah itu berkata, jurang antara beliau dan Ananda Krishnan selaku orang kedua terkaya, semakin kecil dengan harta berjumlah kira-kira RM20.1 bilion, diikuti oleh peneraju Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow (RM8.15 bilion) dan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation (RM7.4 bilion).

Tempat kelima dalam senarai dipegang oleh pemilik Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan yang memiliki harta bernilai RM4.5 bilion berbanding RM11.1 bilion, tahun lalu.

Majalah itu berkata, balu kepada pengasas Genting Group, Tan Sri Lim Goh Tong, Puan Seri Lee Kim Hua muncul buat pertama kali dalam senarai dengan menduduki tempat keenam dengan nilai harta berjumlah RM3.5 bilion sekali gus menjadikan beliau wanita paling kaya di negara ini.

Individu lain dalam senarai 10 terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary (RM3.18 bilion), Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group (RM1.79 bilion), Tan Sri Tiong Hiew King dari Kumpulan Rimbunan Hijau (RM1.64 bilion) dan Tan Sri Azman Hashim dari Arab-Malaysian Corp (RM1.42 bilion).

Antara muka-muka baru selain Kim Hua ialah adik beradik dari YTL Group iaitu, Datuk Yeoh Soo Min dan Datuk Yeoh Soo Keng manakala Datuk Kamarudin Meranun dari AirAsia Bhd. muncul semula dalam senarai itu setelah setahun tersingkir.

Senarai 40 rakyat Malaysia terkaya adalah berdasarkan kepentingan mereka dalam syarikat senaraian awam sehingga 16 Januari ini.

Senarai penuh boleh diperoleh dalam majalah Malaysian Business terbitan hari ini.


Sumber dari Utusan Malaysia Online


Puteri KSU :-

Antara berita yang menarik dalam Buletin Utama malam tadi. Dalam senarai 1 hingga 10 hanya ada 2 saja Jutawan berbangsa Melayu iaitu Pemilik Yayasan AlBukhary dan tuan punya Arab-Malaysian Corp.

Saturday, February 14, 2009

LETAK CALON IKUT KEHENDAK PENGUNDI

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau jika meletakkan calon tempatan yang disukai ramai.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (gambar) berkata, selain calon yang berkaliber dan disukai ramai, BN dan UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan dan kelemahan jentera pilihan raya ketika di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dahulu.

"Saya rasa jika dua perkara ini diambil kira selain faktor lain, BN mampu untuk memenangi semula Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas persiapan jentera pilihan raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah pada 7 April depan.
Dalam pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini, proses penamaan calon akan diadakan serentak pada 29 Mac nanti.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom pada 9 Februari lalu, manakala kerusi DUN Bukit Selambau pula dikosongkan selepas wakil rakyatnya, V. Arumugam meletak jawatan berikutan masalah peribadi.

Menurut Muhammad, BN sudah boleh mengatur strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.

"Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi," katanya.

Tambahnya, jentera sayap parti telah dikerahkan untuk bersedia menangkis segala isu yang mungkin dibangkitkan nanti.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn ketika dihubungi berkata, parti itu tidak membuat sebarang permintaan untuk meletakkan calonnya bertanding di Parlimen Bukit Gantang walaupun kerusi itu pernah dimenangi oleh Ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe.

Ko Youn memberitahu, pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di Taiping semalam, parti itu bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa diketuai oleh Lian Hoe bagi menjelaskan isu yang berbangkit ketika ini.

Sebagai bekas penyandang kerusi itu, Gerakan yakin Timbalan Menteri Penerangan itu dapat menarik lebih ramai pengundi memilih calon BN.
Puteri KSU :-
Secara peribadi memang saya bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan calon mengikut kehendak pengundi. Anak tempatan lebih tahu 'selera' pengundi dan rasanya adalah lebih mudah untuk mereka memenangi hati pengundi. Rasanya sudah jelas 'signal' yang diberikan oleh pengundi dalam pilihanraya yang lepas bila 'orang luar' diletakkan sebagai calon.